Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya 
merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan.Kulitnya 
kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada 
tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya. Ahli 
membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan 
sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya 
sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam 
kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru 
untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu 
seketika dan disuruh memberi syafa'atnya.  Ternyata Allah memberi izin 
padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi'ah 
dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun 
ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia pada mata manusia...
Tidak banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan 
hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok 
dan mempermainkan hatinya.  Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai 
seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi
 umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.
Suatu ketika, seorang fuqoha' negeri Kuffah, datang dan ingin duduk 
bersamanya. Orang itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah. 
Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula 
kepadanya. Uwais berkata:
"Aku khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari mana 
aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti 
daripada mencuri."
Uwais telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya.
Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa.
Bagi menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai 
pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk 
menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang 
berlebihan, Uwais menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup 
miskin dan serba kekurangan.  Kesibukannya sebagai pengembala dan 
merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan 
ibadahnya. Dia tetap melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di 
malam harinya.
Uwais al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W 
tiba ke negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka
 untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu 
bagi-Nya.
Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur.
 Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. 
Apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, 
kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran. 
Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk 
mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di
 Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan 
Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang 
baru datang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan 
kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum 
berkesempatan.  Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan 
yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia 
tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah
 ibunya yang sedang sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat 
ibunya sepanjang ketiadaannya nanti?
Diceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat 
cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. 
Khabar ini sampai ke pengetahuan Uwais.  Dia segera memukul giginya 
dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti 
kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung 
dan hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan 
diri dan bertanya dalam hati, "Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?"
Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian 
daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya 
selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa 
Rasulullah.  Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia 
meluahkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan 
untuk pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.  Sang ibu, walaupun telah 
uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat 
faham hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,  "Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang."  Dengan
 rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk 
menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada
 tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka 
berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus
 kilometer dari Yaman.  Medan yang begitu panas dilaluinya.
 Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir 
yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta 
begitu dingin di malam hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat 
memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini 
dirinduinya.
Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah 
Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. 
Keluarlah sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.  Segera 
sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata 
baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa 
kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang 
dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan 
ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.  Bilakah beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
"Engkau harus lekas pulang."  Atas ketaatan kepada ibunya, 
pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk
 menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.  Dia akhirnya dengan terpaksa 
memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina 'Aisyah R.A ke negerinya.
 Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang 
dengan hati yang pilu.
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang
 kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan 
bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah 
penghuni langit dan sangat terkenal di langit.  Mendengar perkataan 
baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya 
terpegun.  Menurut sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari
 Nabi S.A.W dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua 
dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu 
lama.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa 
dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di 
tengah-tengah telapak tangannya."
Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:  "Suatu
 ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan 
istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Tahun terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, 
hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah
 digantikan dengan Khalifah Umar R.A.  Suatu ketika, khalifah Umar 
teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni 
langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali R.A untuk 
mencarinya bersama.  Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari 
Yaman, mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia 
turut bersama mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa 
hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau 
berdua.  Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, 
membawa barang dagangan mereka.
Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju 
kota Madinah.  Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, 
segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali R.A mendatangi mereka dan 
menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka.  Rombongan itu mengatakan 
bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di 
perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi 
menemui Uwais al-Qarni.  Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, 
Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya 
Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais 
menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan 
Uwais, untukmembuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak 
tangan Uwais,sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W. 
 Memang benar! Dia penghuni langit.
Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
"Siapakah nama saudara?"
"Abdullah." Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,
"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"
Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais al-Qarni."
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah 
meninggal dunia.Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan 
kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,
"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda."
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat 
kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.  Setelah itu Khalifah 
Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan uang negara daripada Baitulmal 
kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan
 halus dengan berkata,  "Hamba mohon supaya hari ini saja hamba 
diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir 
ini tidak diketahui orang lagi."
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak 
terdengar beritanya.  Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan 
dibantu oleh Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke tanah
 Arab bersama para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan 
berhembus dengan kencang.  Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal 
kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal 
semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang laki-laki yang 
mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami 
memanggilnya.
Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
"Wahai waliyullah, tolonglah kami!" 
Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,
"Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!"
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,
"Apa yang terjadi?"
"Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?" Tanya kami.
"Dekatkanlah diri kalian pada Allah!" Katanya.
"Kami telah melakukannya."
"Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!"
Kami pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat 
itu jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak 
tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami,
"Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan kalian semua selamat."
"Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?" Tanya kami.
"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya, "Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir."
"Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?" Tanyanya.
"Ya!" Jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa.
 Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke 
permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan 
perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta
 kepada orang-orang fakir di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang 
ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah 
banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke 
tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang 
menunggu untuk mengkafankannya.
Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana 
ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. 
Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang 
yang berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
"Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang 
daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur
 tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak 
terlihat ada bekas di kuburnya."
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang 
bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal
 yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal 
datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah 
seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.
Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam 
kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya 
terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?"
"Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk 
Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami 
kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."
Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya.
Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."
 - Artikel iluvislam.com